E-Kamus-Malaysia

Thursday, February 14, 2008

Hari Valentine Menurut Pandangan Islam

Sejarah Hari Valentine (Hari Kekasih)

Versi 1

Ia diraikan sempena memperingati paderi Kristian bernama Pedro St. Valentino. Dia aktif menyebarkan agama Kristian pada zaman pemerintahan Rom yang pada masa itu diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 M). Raja Rom ini memenjarakan orang Kristian kerana mereka mengamalkan agama yang bertentangan dengan agama kuno Romawi. Oleh kerana Valentine salah seorang penyebar agama Kristian, dia ditangkap dan diseksa di dalam penjara.

Namun sepanjang di dalam penjara pun, Valentine tetap sebarkan agama Kristian kepada banduan-banduan. Raja Rom mengetahui kegiatan Valentine dan memerintah Valentine dihukum bunuh pada 14 Februari. Lantaran itu, orang Kristian memandang mulia kepada Valentino kerana kesanggupan mengorbankan nyawa kerana kepercayaan, kecintaannya terhadap syiar agama Nasrani iaitu agama Kristian. Malah sehingga mereka menyamakan Valentino seperti Nabi Isa.

Sumber-sumber menyatakan, ketika St. Valentine dalam penjara, beliau jatuh cinta pada anak seorang pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh tetapi sebelum itu Raja Claudius II memberi kepadanya pilihan sama ada meninggalkan agama Kristian yang dianutinya atau menerima hukuman bunuh.

Beliau rela dibunuh tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis tersebut dengan menurunkan tanda tangan “From your valentine” (Daripada Valentinemu). Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari pada setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati hari kematian St. Valentine iaitu paderi kesayangan mereka.

Versi 2

St. Valentine dan St. Marius dijatuhkan hukuman bunuh kerana mengahwinkan ramai pemuda secara rahsia sedangkan undang-undang Rom pada ketika itu menghalang pemuda-pemudanya berkahwin dan berkeluarga. Mereka dikerahkan untuk menjadi tentera sahaja. Ini kerana, menurut Raja Cladius II, larangan berkahwin akan memudahkan tentera-tentera untuk memberikan komitmen sepenuhnya pada tanggungjawab mempertahankan negara. Perbuatan ini mendatangkan kemarahan Raja Rom dan akhirnya kedua-dua paderi tersebut ditangkap serta dijatuhkan hukuman gantung pada 14 Februari 269 Masihi.

Sewaktu dalam penjara iaitu sebelum dihukum mati, St. Valentine berkenalan dengan seorang gadis yang merupakan anak kepada seorang pegawai penjara. Gadis tersebut sentiasa mengunjungi Valentine hinggalah beliau dihukum mati. Sebelum dihukum mati, Valentine sempat menulis kepada gadis tersebut yang turut menyelitkan perkataan “From Your Valentine.”

Peristiwa tersebut telah diingati oleh orang-orang Kristian sebagai cara menyatakan cinta kasih Valentine. Itulah sejarah hari Valentine yang ternyata untuk mengenang dan memperingati dua orang ‘suci’ Kristian Katolik yang mengorbankan jiwanya demi kasih sayang.

Versi 3

Ia dirayakan sempena kejatuhan Islam di Cordova, Sepanyol. St. Valentine merupakan orang yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Dengan jasanya itu, Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Bayangkan kalau kita meraikan hari ini, sudah tentu ia menandakan kita sendiri merayakan kejatuhan agama Islam itu.

Versi 4

Pada zaman Romawi kuno, setiap 14 Februari merupakan hari raya untuk memperingati dewi Juno yang merupakan ratu dari segala dewa dan dewi. Orang-orang Romawi kuno juga meyakini bahwa dewi Juno adalah dewi bagi kaum perempuan dan perkahwinan.

Pada tanggal 14 Februari setiap tahun, orang-orang Romawi kuno mengadakan perayaan untuk memperingati Dewi Juno dengan cara memisahkan kaum laki-laki dan perempuan. Nama-nama remaja perempuan ditulis pada potongan kertas lalu digulung dan dimasukkan ke dalam botol. Setelah itu, setiap seorang lelaki akan mengambil kertas-kertas itu dan melihat kepada nama yang tercatat dalam kertas tersebut. Maka gadis itulah yang akan menjadi pasangannya.

Cara Meraikan Hari Valentine Bagi Pasangan Kekasih

1. Saling mengucapkan ‘Selamat Hari Kekasih’ atau ‘Happy Valentine’.
2. Pemberian sejambak bunga ros merah.
3. Pemberian hadiah atau coklat.
4. Bertukar kad ucapan, e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
5. Keluar berdua-duaan untuk makan malam bersama ditempat yang ditempah khas seperti di restoran atau hotel yang dihiasi pula dengan sinaran cahaya lilin yang romantik.
6. Mengenakan pakaian-pakaian yang beraneka fesyen sesuai dengan kegemaran pasangan masing-masing.
7. Menonton wayang.
8. Mengunjungi pusat-pusat hiburan dan kompleks-kompleks membeli-belah.
9. Mengadakan pesta dan konsert.
10. Bercuti di tempat-tempat yang istimewa dan menarik.
11. Menyerahkan kehormatan diri kepada pasangan sebagai bukti kecintaan.

Agenda Barat Di Sebalik Sambutan Hari Valentine

1. Sebagai usaha penyebaran dakyah kristian secara tidak sedar terutama para remaja yang mudah terpengaruh dengan sesuatu yang bersifat keseronokan dan khayalan dengan menggunakan cinta sebagai alasan.
2. Merosakkan akhlak umat Islam sebagai satu cara melemahkan jatidiri dan pegangan mereka kepada agama.
3. Satu bentuk penjajahan ke atas umat Islam melalui penyebaran budaya-budaya yang tidak sihat dan menjurus ke arah kerosakan dan maksiat.
4. Sebagai satu medium (alat) untuk memasarkan produk-produk mereka seperti pakaian, makanan dan minuman, hotel, perhiasan, cenderamata, filem dan lain-lain.
5. Menggalakkan para remaja supaya bergaul tanpa batasan dan melakukan seks bebas yang akhirnya akan memerangkap mereka supaya berterusan melakukan dosa seperti minum arak, penyalahgunaan dadah, pengambilan pil khayal, pembuangan bayi dan sebagainya.

Sebab Larangan Meraikan Hari Valentine

1. Merosakkan aqidah umat Islam.

Sambutan Valentine dianggap satu ibadah (ritual) dalam agama Kristian. Sebarang perlakuan umat Islam yang menyerupai atau mengikut amalan agama lain terutama yang berkaitan dengan kepercayaan dan ibadah dilarang sama sekali dan boleh membawa kepada murtad (terkeluar daripada agama Islam).

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kafirun : ayat 1-6 bermaksud :

“Katakanlah : ‘Hai orang-orang Kafir. Aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku.”

2. Menggalakkan perbuatan maksiat.

Kebiasaan yang dilakukan untuk meraikan Hari Kekasih ini dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang jelas diharamkan oleh Islam iaitu dengan berhibur dan bergaul antara lelaki dan perempuan tanpa batasan hinggalah berlakunya perzinaan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ : ayat 32 bermaksud :

“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat.”

3. Mengajak ke arah pemujaan dan penyembahan berhala.

Hari Valentine digunakan oleh Barat sebagai cara untuk memperingati atau memuja Dewi Juno yang juga merupakan ritual yang dilakukan oleh orang-orang Romawi Kuno yang menyembah berhala atau Dewa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Bezakan diri kamu dari orang-orang musyrik.”

4. Perancangan Barat untuk merosakkan umat Islam dan masyarakat Timur.

Melalui Hari Valentine ini, ramai muda-mudi dan remaja yang hanya mengikut budaya meraikan Hari Kekasih ini tanpa mengetahui dan memahami tujuan atau asal-usul sambutan hari tersebut.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ : ayat 36 bermaksud :

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.”

5. Kepercayaan karut yang sesat lagi menyesatkan.

Hari Valentine dipercayai sebagai hari untuk mencari jodoh oleh masyarakat Barat. Mereka mempercayai kononnya kasih sayang akan mulai bersemi pada tanggal 14 Februari. Kepercayaan ini adalah syirik dan haram hukumnya bagi umat Islam untuk mengikutinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk bersama golongan tersebut.”

6. Salah satu budaya kaum Yahudi dan Nasrani.

Apa yang jelas dalam sambutan Valentine Day ialah pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Bagi menzahirkan rasa cinta, pelbagai aktiviti dilakukan yang jelas haram dan bertentangan dengan Islam.

Apa yang pasti ialah pasangan kekasih akan mengadakan pertemuan demi melahirkan perasaan cinta. Pada waktu itu yang ketiga ialah syaitan yang menghasut mereka supaya melakukan perkara-perkara terkutuk. Nabi telah menegah kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dengan sabdanya yang bermaksud :

“Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya : Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.’’

Pandangan Islam Sebagai Menafikan Kewujudan Hari Kekasih

1. Cinta yang utama adalah cinta kepada Allah, Rasul, Agama, Negara, Ibu bapa dan sesama saudara seagama.
2. Cinta yang sebenar adalah cinta yang dibatasi iman dan akal serta mampu menguasai hawa nafsu.
3. Islam menghalalkan malah menganjurkan perkahwinan sebagai saluran yang betul untuk mencurahkan perasaan cinta, kasih dan sebagainya.
4. Hari kekasih tidak wujud dalam Islam kerana setiap hari merupakan hari kekasih khususnya untuk suami isteri dan sesama anggota keluarga.
5. Perasaan cinta dan kasih adalah fitrah setiap manusia dan perlu melalui adab dan peraturan yang ditetapkan Islam.
6. Kasih sayang dalam Islam adalah dalam bentuk menghubungkan silaturrahim, menziarahi saudara yang sakit, menolong jiran yang ditimpa musibah, mendamaikan yang bertelagah, mengajak kepada kebenaran dan mencegah perbuatan mungkar.
7. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dilarang keras dalam Islam kerana antara tujuan Islam diturunkan adalah untuk menjaga dan memelihara maruah dan kehormatan manusia.

Susunan : Ahmad Tarmizi Zakaria. Boleh dilayari di : http://kuliahsemasa.blogspot.com/